BAGAN DATOH 18 Mac – Langkah Indonesia melancarkan pelan besar-besaran untuk memodenkan persenjataannya tidak perlu dilihat sebagai satu ancaman kepada negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembelian senjata adalah perkara biasa kerana setiap negara mempunyai dasar pertahanan masing-masing.

“Indonesia adalah negara jiran dan sahabat kita. Pembelian senjata bukan satu tindakan yang sensitif kerana negara tersebut mempunyai ribuan pulau dan penduduk yang sangat ramai untuk dijaga.

“Bagi kita, negara-negara ASEAN tidak dianggap sebagai musuh dalam bidang pertahanan kerana kita mempunyai forum untuk berbincang mengenai hal ehwal pertahanan seperti Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Forum Putrajaya,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Indonesia melancarkan pelan besar-besaran untuk memodenkan angkatan bersenjatanya yang serba kekurangan dan membangunkan sebuah industri pertahanan dalam langkah yang dilihat oleh penganalisis boleh mengubah keseimbangan strategik di rantau ini.

Laporan berita sebelum ini menyebut, Korea Selatan telah menandatangani perjanjian bernilai AS$1.1 bilion (RM3.48 bilion) untuk membekalkan tiga kapal selam kepada Indonesia yang turut menawarkan pertukaran teknologi.

Indonesia juga dilaporkan merancang membeli kapal kebal utama (MBT) bagi mengimbangi sistem persenjataan dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya mengetahui Indonesia telah membeli kapal selam dari Korea Selatan serta aset-aset pertahanan lain bagi memodenkan tentera darat negara itu.

Katanya, tindakan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai perlumbaan senjata di kalangan negara-negara di rantau ini.

“Saya harap jangan ada pihak mempertikaikan pembelian kapal selam oleh Indonesia kerana semua negara ada dasar pertahanan, kedaulatan, ruang udara dan sempadan masing-masing. Kita jangan berasa resah dan susah hati dengan apa yang dibuat oleh negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid memberitahu, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur selama empat hari dari 16 hingga 19 April ini.